Jumaat, 2 Ogos 2013

TEKANAN DARAH TINGGI

Hai, 

Hari ni saya nak kongsikan penyakit org Malaysia sekarang ni (penyakit hypertensi) darah tinggi laa.. 

ni artikel aku nak kongsi dengan korang semua.. 

Darah tinggi: Pembunuh Senyap

Bersama:DATUK DR. NOR IZHAM AZIZ (Pakar Perunding Perubatan dan Kardiologi Hospital Pakar Putra Melaka)

TEKANAN darah tinggi (hipertensi) kadang-kala digelar “pembunuh senyap” kerana tidak menunjukkan apa-apa simptom pada peringkat awal tetapi menyebabkan bilangan kematian yang tinggi di kalangan penduduk negara ini dan juga di seluruh dunia.

Mengikut kajian yang dijalankan di Malaysia pada 2007, lebih 30 peratus daripada penduduk negara ini menghidap tekanan darah tinggi dan sebilangan besar penghidap terdiri daripada kaum Melayu, tidak kira di bandar atau desa.

Ini dengan secara tidak langsung menunjukkan cara hidup di bandar dan di desa tidak banyak perbezaan di samping faktor genetik juga berkemungkinan memainkan peranan yang besar.
Penyakit ini melibatkan lebih kurang lima hingga enam juta rakyat Malaysia dan bilangan kes makin meningkat disebabkan gaya hidup moden zaman kini.

Darah tinggi adalah penyebab utama penyakit serangan jantung (heart attack) lemah jantung (heart failure), kegagalan buah pinggang dan buta. Mujurlah penyakit ini senang dikesan dan boleh dikawal dengan menukar gaya hidup dan pengubatan.
 
* Fisiologi
Darah biasanya mengalir dalam dua fasa iaitu:
* Sistolik; apabila jantung berdenyut, darah mengalir keluar dari jantung dan tekanan darah akan naik.
* Diastolik; apabila jantung berehat seketika serta diisi dengan darah untuk denyutan selanjutnya, menyebabkan tekanan darah turun seketika. 

Ini bermakna tekanan darah akan turun dan naik mengikut denyutan jantung.
Ini menyebabkan tekanan darah mengandungi dua nilai iaitu sistolik yang tinggi dan diastolik yang rendah, contohnya 120/80 milimeter (mm) merkuri (Hg).

Tekanan darah juga berubah dari masa ke semasa sepanjang hari disebabkan emosi dan keadaan tubuh badan kita. Sebagai contoh, tekanan naik semasa bersukan dan tekanan turun sewaktu tidur. 

Tiga jenis hormon dari kelenjar adrenal iaitu adrenaline, noradrenaline dan aldosterone turut mempengaruhi tekanan darah. Rangkaian urat saraf dan hormon tadi mempengaruhi tekanan darah di dalam tubuh kita.

Biasanya sistem yang kompleks ini mengawal tekanan darah dan gangguan di dalam sistem ini menyebabkan darah tinggi.Kira-kira 90 peratus pesakit darah tinggi tidak ada penyebab yang khusus dan ini digelar Essential atau Primanory Hypertension. 
 
Beberapa faktor dapat dikenali mempunyai kaitan dengan Primanory Hypertension seperti tabiat pemakanan, aktiviti fizikal dan juga keadaan persekitaran.Fakta lain seperti kandungan garam dan lemak yang tinggi di dalam diet, obesiti dan kegemukan, kurang senaman serta kurang memakan sayur dan buah-buahan yang mengandungi nilai potassium yang tinggi. Selain itu, faktor genetik juga dilihat memainkan peranan penting.
 
Darah tinggi juga boleh disebabkan oleh penyakit-penyakit lain dan ini dinamakan “secondary hypertension” yang membabitkan lima peratus dari jumlah kes.Penyakit-penyakit tersebut ialah kegagalan fungsi buah pinggang (kidney failure), penyempitan pembuluh darah ke buah pinggang, tumor di kelenjar adrenal dan penyempitan pembuluh darah besar aorta.
Penyempitan pembuluh darah ini kadang kala dapat dirawat dengan pembedahan dan boleh menyembuhkan tekanan darah tinggi.

Selain itu, sesetengah jenis ubat juga boleh menyebabkan darah tinggi seperti steroid, cyclosporine, anti-depressant (kemurungan) dan ubat untuk sakit sendi dan tulang jenis NSAID (ubat antikeradangan bukan jenis steroid). 

* Simptom atau petanda darah tinggi
Darah tinggi pada peringkat awal tidak memberi sebarang petanda dan kadangkala tidak dapat dikesan hingga bertahun lamanya.
Kadangkala, pesakit akan mengalami sakit kepala tetapi biasanya darah tinggi dikesan semasa pemeriksaan rutin. 

Selalu juga tanda pertama darah tinggi ialah apabila pesakit menghidap komplikasi seperti strok, serangan jantung, lemah jantung atau masalah buah pinggang.
Kadang kala pesakit datang ke hospital dalam keadaan krisis dan tekanan darah melebihi 200/120 mm Hg. 

Tekanan darah yang tinggi sebegini boleh menyebabkan sakit dada, sesak nafas, sakit kepala, gangguan penglihatan, muntah-muntah dan juga sawan.
 
* Klasifikasi darah tinggi
Darah tinggi boleh diklasifikasikan mengikut tahap tekanan darah (mm Hg) seperti berikut:
KATEGORI Sistolik Diastolik

Optimum - <120<80
Normal - 120-129 80-84
Normal Tinggi - 130-139 - 85-89
Hipertensi Gred 1 (Ringan) - 140-159 - 90-99
Hipertensi Gred 2 (Sederhana) - 160-179 - 100-109
Hipertensi Gred 3 (Teruk) - >/180 - >/110
Hipertensi Sistolik Terpencil - >/140 - <90

Darah tinggi boleh dibezakan di antara sistolik dan diastolik. Biasanya hipertensi sistolik dihadapi oleh pesakit yang berumur 60 tahun ke atas di mana tekanan sistolik melebihi 140 mm Hg dan tekanan diastolik kurang daripada 90 mm Hg.

Sebaliknya pula, pesakit yang lebih muda mengalami tekanan sistolik melebihi 140 mm Hg dan tekanan diastolik juga melebihi 90 mm Hg. 

Di kalangan pesakit yang datang ke klinik atau hospital dan dikatakan mengidap darah tinggi, lebih kurang 20 peratus daripada mereka mempunyai tekanan darah yang normal apabila diperiksa sendiri di rumah.Golongan ini dinamakan ‘white coat hypertension’ (hipertensi kot putih). Biasanya doktor akan menggunakan alat pemantauan automatik yang boleh digunakan di rumah selama 24 jam untuk mengesan golongan ini (24 hours ambulatory blood pressure monitoring).
 
Di kalangan pesakit darah tinggi, ada juga yang tekanan darahnya tidak menurun sewaktu tidur dan kumpulan ini digelarkan ‘non dippers’.Golongan ini didapati menghadapi kadar komplikasi yang lebih tinggi. Ada kajian yang mengatakan bahawa ‘non dippers’ ini disebabkan terlalu banyak kandungan garam (sodium) di dalam darah dan rawatan untuk mengurangkan garam boleh menukar non dippers kepada “nocturnal dippers.”
 
* Komplikasi dari tekanan darah tinggi
Tekanan darah yang berlebihan boleh merosakkan pembuluh darah besar dan juga yang kecil.
Contoh kerosakan pembuluh darah yang besar adalah seperti strok dan serangan jantung dan contoh kerosakan pembuluh darah yang kecil ialah kegagalan buah pinggang dan gangguan penglihatan disebabkan kerosakan mata. 

Satu lagi komplikasi ialah ‘atrial fibrillation’ atau degupan jantung yang tidak stabil. Ini menyebabkan pesakit merasa berdebar-debar dan kadang-kala pening dan sesak nafas.
Darah tinggi juga menyebabkan jantung membengkak dan boleh berlarutan hingga ke peringkat lemah jantung.Satu lagi komplikasi ialah bengkak di saluran aorta (aneurisme). Aneurisme ini kadangkala terkoyak atau bocor dan berlaku pendarahan yang banyak. Komplikasi ini kerap menyebabkan pesakit maut.
 
* Pencegahan
Pencegahan darah tinggi adalah amat penting disebabkan kerosakan organ boleh bermula apabila tekanan darah melebihi 120/80 mm Hg dan sebelum dapat dikesan oleh doktor.
Pencegahan juga boleh mengelakkan daripada keperluan menggunakan ubat kelak dan merupakan cara yang terbaik untuk mengelak komplikasi.

Cara pencegahan adalah dengan mengubah cara hidup seperti mengurangkan berat badan, kerap bersenam, cara pemakanan yang sihat seperti memakan banyak sayur-sayuran dan buah-buahan serta mengurangkan kandungan garam dan lemak dalam masakan.

Kajian menunjukkan bahawa pemakanan yang seimbang dengan kandungan nutrien penting terutamanya potasium melebihi 4,000 miligram (mg) sehari boleh merendahkan tekanan darah. 

Selain itu, memakan sebanyak lima cawan sayur dan buah-buahan, tiga cawan bahan tenusu rendah lemak dan mengurangkan kegunaan garam sebanyak 1,500 mg sehari boleh merendahkan tekanan darah.

* Sindrom metabolik
Berat badan yang tinggi memainkan peranan yang penting dalam apa yang dinamakan sindrom metabolik. 

Sindrom ini boleh dikenali dengan adanya obesiti dengan Indeks Jisim Badan (IJB) atau BMI (Basal Metabolic Rate) yang melebihi 25 serta perut buncit selain ukuran pinggang yang melebihi 40 inci untuk lelaki, melebihi 35 inci untuk perempuan, diabetes, darah tinggi, HDL kolesterol (kolesterol baik) yang rendah dan triglyceride yang tinggi.

Kesemua penyakit ini boleh dielak jika kita menjaga berat dan ukuran pinggang yang sesuai. Biasanya jika berat badan dapat dikurangkan sebanyak 10 peratus, tahap tekanan darah juga dapat diturunkan.

* Diagnosis
Darah tinggi biasanya dikesan semasa pemeriksaan rutin atau semasa berjumpa doktor untuk masalah kesihatan yang lain.Selalunya doktor akan memeriksa tekanan darah dua atau tiga kali dalam masa yang berasingan untuk memastikan tekanan darah tinggi. 
 
Pesakit dinasihatkan jangan meminum kopi atau teh, jangan hisap rokok selama setengah jam dan berehat selama lima minit sebelum memeriksa tekanan darah.

Alat-alat pemeriksaan darah tinggi jenis elektronik juga boleh digunakan di rumah untuk mengesan golongan “white coat hypertension” dan untuk memantau tekanan darah setiap hari.

Doktor juga boleh menggunakan alat untuk merakamkan tekanan selama 24 jam (24 hours BP monitoring) kerana cara ini lebih tepat dan dapat mengesan golongan ‘non dippers’ yang menghadapi darah tinggi sewaktu tidur.

* Rawatan
Rawatan darah tinggi mementingkan kawalan tekanan yang tidak melebihi 140/90 mm Hg bagi mereka yang tidak mempunyai penyakit sampingan atau 130/80 bagi mereka yang menghidap diabetes, lemah jantung dan kerosakan buah pinggang. 

Penting juga bagi doktor untuk mengesan mereka yang menghidap ‘secondary hypertension’ supaya punca utama darah tinggi dapat dirawat.Biasanya rawatan darah tinggi dimulakan dengan memperbaiki cara hidup dengan pemakanan yang seimbang, mengamalkan cara hidup yang aktif, melakukan aktiviti fizikal dan senaman jika tekanan darah masih di peringkat satu.
 
Bagi pesakit dengan tekanan darah didapati terlalu tinggi (peringkat kedua), pesakit harus menggunakan ubat untuk mengawal tekanan darah. 

Di kalangan pesakit yang menghidap diabetes, lemah jantung, strok atau kerosakan buah pinggang, ubat biasanya digunakan pada peringkat satu dan tekanan darah perlu dikurangkan hingga ke 130/80 mm Hg.
 
* Ubat-ubatan
Terdapat pelbagai jenis ubat yang digunakan untuk mengawal tekanan darah. Biasanya doktor memilih ubat mengikut keadaan dan faktor-faktor kesihatan lain yang terdapat pada pesakit.
Contohnya di kalangan pesakit yang berumur 65 tahun ke atas dan menghidap hipertensi sistolik, ubat yang paling berkesan adalah dari kumpulan diuretic dan di kalangan pesakit diabetes pilihan pertama adalah angiotensin converting enzyme (ACE) inhibitors atau angiotensin receptor blocker.

Jika pesakit menghidap angina atau serangan jantung, beta-blocker adalah pilihan pertama. Di kalangan pesakit dalam peringkat pertama dan tiada tanda-tanda kerosakan organ, perubahan cara hidup boleh dicuba terlebih dahulu selama enam bulan hingga setahun. Jika tekanan darah masih melebihi 140/90 mm Hg, biasanya satu jenis ubat digunakan. 

Bagaimanapun di kalangan pesakit yang dalam peringkat kedua, kadangkala doktor memulakan dengan dua jenis ubat dengan serentak.
Terdapat ubat moden di mana dua jenis ubat disatukan di dalam satu pil dan ini menyenangkan pesakit dan menggalakkan mereka kekal memakan ubat setiap hari. Di dalam pemilihan ubat, kos juga menjadi faktor yang perlu dipertimbangkan.

* Rawatan jangka panjang
Pesakit yang menghidap tekanan darah tinggi biasanya menjalani rawatan seumur hidup dan selalunya berjumpa doktor antara satu hingga tiga bulan sekali. 

Di kalangan pesakit yang tekanannya tidak terkawal atau menghidapi masalah perubatan seperti sakit jantung, strok atau kerosakan buah pinggang haruslah berjumpa doktor setiap bulan.

Ada setengah pesakit di mana tekanannya susah dikawal dan memerlukan tiga atau empat jenis ubat. 

Kajian menunjukkan bahawa 50 peratus daripada pesakit memerlukan satu jenis ubat dan 30 peratus lagi memerlukan dua jenis ubat sementara bakinya pula memerlukan tiga atau empat jenis ubat untuk mengawal tekanan darah mereka.

Kajian juga menunjukkan bahawa 30 peratus daripada pesakit mempunyai tekanan darah tidak terkawal. 

Faktor pertama tekanan tidak terkawal adalah disebabkan ubat yang tidak mencukupi disebabkan pesakit tidak memakan ubat yang diberikan.

Ada kajian yang menunjukkan 50 peratus daripada pesakit berhenti makan ubat dan tidak berjumpa doktor dalam jangka masa setahun selepas bermulanya rawatan. 

Hakikat ini boleh difahami kerana penyakit darah tinggi selalunya tidak mendatangkan apa-apa gangguan dan ubat yang dimakan kadangkala menyebabkan kesan sampingan yang mengganggu kehidupan harian pesakit. Tetapi, adalah sangat penting ubat dan rawatan diteruskan memandangkan penyakit-penyakit yang serius yang boleh terjadi akibat tekanan darah tinggi yang tidak dikawal.
* Jenis-jenis ubat darah tinggi
* Diuretik 

Diuretik mengurangkan kandungan garam dan air di dalam badan dengan mengeluarkan bahan ini di dalam air kencing. Dengan ini tekanan darah dapat dikurangkan.
* Beta-blocker

Beta-blocker menyekat perjalanan hormon adrenaline dan noradrenaline. Ini mengurangkan kekuatan dan kelajuan denyutan jantung dan mengurangkan tekanan darah.
* Angiotensin converting enzyme (ACE) inhibitors atau Angiotensin receptor blocker (ARB)
ACE inhibitor dan ARB menyekat enzim yang mengeluarkan angiotensin II, satu bahan yang menyebabkan saluran darah mengecut. Ubat ini mengembangkan saluran darah dan menurunkan tekanan.

* Calcium channel blocker
Calcium channel blocker menyekat perjalanan kalsium ke sel di saluran darah. Ini menyebabkan saluran mengembang dan menurunkan tekanan darah.
* Alpha-blocker

Alpha-blocker menyekat isyarat saraf yang menyebabkan cengkaman saluran darah.


Artikel Penuh:

Tiada ulasan:

Catat Ulasan